Wednesday 16 May 2007

2007 05: Antara dera, ego dan doa isteri

Berita Harian online. Citra. 15/05/07

Sesetengah wanita sanggup dipukul suami kerana tak mahu jadi janda, anak tiada bapa jika berlaku penceraian rumah tangga

MENDENGAR kisah ibu tunggal, Suriati, 32 (bukan nama sebenar), meruntuh jiwa sesiapa saja yang mendengarnya. Muda dan cantik, siapa sangka ibu kepada enam anak berusia antara setahun dan 13 tahun itu pernah merelakan dirinya ‘menahan’ daripada dimalukan, disumpah seranah depan orang ramai dan dibelasah dengan apa saja yang tercapai dek tangan bekas suami bertopeng haiwan itu selama 11 tahun!

Kata hatinya, usah melawan, sebaik mungkin tahan sakit badan dan jiwa raga dibelasah asalkan rumah tangga yang dibina tidak musnah di tengah jalan, lantaran perangai suami yang panas baran dan mudah naik tangan

Sudah acap kali, suaminya tanpa usul periksa akan membelasahnya walaupun di depan anak, hatta ketika sarat mengandung.

“Sebagai seorang isteri, perlindungan dan kasih sayang itu paling utama. Saya selalu memujuk diri supaya jangan sampai bercerai berai, sebaliknya biarkan badan berselirat kesan dibelasah, asalkan saya tidak bergelar janda dan anak tidak ada ayah.

“Tetapi lama kelamaan saya terfikir, sampai bilakah anak sentiasa hidup dalam ketakutan dan saya pula membiarkan diri dipukul dengan teruk walaupun di depan mereka? Saya juga punyai maruah dan tidak seharusnya saya diperlakukan sedemikian,” katanya ketika ditemui sempena majlis anjuran Pertubuhan Pertolongan Wanita, baru-baru ini .

Tindakan beliau melarikan diri daripada suami dilakukan selepas berfikir panjang termasuk mendapatkan nasihat daripada ahli agama. Lebih-lebih lagi selepas memikirkan bukanlah suasana yang sihat apabila anak melihat ibunya didera. Sehubungan itu, katanya, selepas mendapat nasihat daripada ibu mentua dan keluarga, mereka menyerahkan kepada saya untuk mengambil tindakan. “Selepas mendapat perintah mahkamah dan saya akhirnya bercerai, walaupun hakikatnya suami tidak mengetahui status perkahwinan ini. Trauma itu masih berbekas di hati. Walaupun sudah dua tahun berlalu, saya diibaratkan hidup dalam pelarian. Takut sekiranya suami mencari. “Saya tidak sanggup lagi dijadikan bahan pelepas geramnya. Bila dia bergaduh dengan teman wanitanya, saya dan anak menjadi mangsanya. Perkara yang memberatkan saya untuk lari ialah bila mana ketika usia kandungan tujuh bulan, suami memukul saya dengan kayu belati hingga dimasukkan ke hospital.

“Dalam tempoh berkenaan anak dijaga suami dan teman wanitanya tinggal di rumah saya dan bertindak memarahi dan menyuruh anak saya melakukan kerja rumah seperti memasak, membasuh dan ketika tempoh berkenaan mereka langsung tidak dibenarkan bersekolah,” katanya.

Jauh di sudut hatinya peluang yang diberikan supaya suaminya berubah bagaikan menabur air di atas daun keladi. Tiada lagi kasih yang pasti tekadnya hari ini untuk membina kehidupan yang lebih baik bersama cahaya mata yang menjadi teras kepada kekuatannya hidupnya kini.

“Memang sukar bergelar ibu tunggal. Stigma masyarakat bahawa wanita sebegini sanggup merampas suami orang, tidak tahu menjaga suami hingga diceraikan dan tidak keterlaluan sekiranya ada yang mengata, ‘patutlah menjanda sebab perangai begitu dan begini’.

“Sebagai contoh, saya pernah bekerja di sebuah pusat beli-belah dan mungkin silap saya mengatakan diri ibu tunggal, suatu hari ketika sedang membasuh cawan di sinki, seorang lelaki datang dari arah belakang dengan cukup rapat dan saya yang terkejut menyebabkan air yang dipegang lelaki itu jatuh ke lengan saya dan parut melecur itu masih ada hingga ke hari ini,” katanya. Kini Suriati lebih rela menyembunyikan identiti diri dengan mengaku berstatus isteri. Bagi mengaburi mata rakan lain, beliau katakan suami jarang berada di rumah kerana sibuk dengan tugasan harian. Hati senang dan telinga tidak sakit kerana beliau tahu majikannya (seorang wanita) juga lebih senang menerima pekerja berstatus isteri berbanding ibu tunggal.

“Dengan cara ini, hatinya tidak risau saya ‘mengambil suaminya’ kelak dan kalau ada sebarang kecurian, tidaklah dia sewenang-wenang menuduh hanya kerana saya ibu tunggal yang tidak cukup duit menampung belanja sekolah dan susu anak,” katanya yang menyatakan kisah berkenaan adalah titik paling hitam dalam hidupnya. Satu persoalan kepada si kaki pukul, kenapa bertindak sedemikian, kalau sayang kenapa ditangankan dan kalau silap ucapan maaf dan dikurung dalam rumah sepanjang belasan tahun itu tidak berbaloikah?

WAO bantu wanita mangsa dera
PEKERJA Sosial Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Saralah Mahendran (gambar) berkata, penderaan terhadap wanita boleh disifatkan sebagai sebahagian kecil daripada masalah lebih besar kerana bukan semua kes penderaan itu di bawa ketengah. Malah, ada wanita yang sanggup mendiamkan perkara berkenaan demi maruah suami dan sayang kepada anak.

Katanya, pertubuhan yang kini berusia 25 tahun itu bertindak sebagai pertubuhan sosial bagi membantu mangsa penderaan suami atau teman lelaki, tidak kira membabitkan warga tempatan mahupun luar. Tujuan utama pertubuhan itu adalah untuk memberi perlindungan kepada mangsa dera dan bagi membantu mereka mendapatkan kembali keyakinan diri untuk menempuhi kehidupan mendatang.

Selain itu, mangsa dera yang berada di bawah kawalan pertubuhan itu akan diberi tempat perlindungan sementara. Sepanjang berada di tempat perlindungan ini, mangsa akan terbabit dalam sesi kaunseling yang mana akan dikendalikan oleh pekerja pertubuhan berkenaan.

“Kami tidak menyediakan rumah perlindungan tetap, sebaliknya selepas tamat sesi kaunseling di tempat perlindungan itu, mangsa masih boleh menetap di situ sementara mencari tempat tinggal yang lain. Pertubuhan ini adalah antara usaha yang dilakukan untuk membantu mangsa dera menempuhi kehidupan yang berbeza daripada sebelumnya.

“Bagaimanapun, jangan ingat mangsa dera daripada golongan tidak berkemampuan saja, sebaliknya ramai juga dikalangan yang berada turut mendera isteri dan di sinilah mereka menumpang kasih. “Berdasarkan pengalaman saya, walaupun selalunya penderaan ini mendorong kepada perceraian, anda perlu tahu bahawa ramai di kalangan mereka kini yang semakin berjaya dengan kerjaya dan perniagaan selepas bangkit daripada pengalaman hitam itu,” katanya pada Sambutan Hari Ibu anjuran Hotel Renaissance di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Pada majlis berkenaan kira-kira 30 wanita mangsa dera hadir bersama anak mereka.

Beliau berkata, bukan mudah membawa wanita berkenaan pada majlis seperti itu kerana masih ada yang enggan kerana bimbang terserempak dengan suami, malah wartawan berulang kali dinasihatkan tidak digalakkan bertanya pengalaman lepas kerana ia hanya akan menambah luka pada parut yang sudah lama berbekas di hati mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai pertubuhan ini boleh hubungi talian 03-7956 3488 atau faks 03-79586287 atau e-mail saralah@wao.org.my/wao@po.jaring.my.

No comments: