Wednesday 16 May 2007

2007 05: Murid cedera di muka disyaki mangsa dera

Berita Harian online. Nasional. 14/05/07

ALOR STAR: Seorang murid Tahun Enam cedera di muka dan beberapa bahagian badan, dipercayai menjadi mangsa penderaan ahli keluarganya sejak lima bulan lalu.

Izzudin Syah Mohd Norul Sani, 12, mendakwa sering dipukul dan pernah dibiarkan tidak makan beberapa hari kerana mahu pulang semula ke pangkuan datuk dan neneknya di Felda Lubuk Merbau, Kuala Nerang.

Izzudin tinggal dengan ibu kandungnya sejak dibawa tinggal di Langkawi pada November tahun lalu, sebelum mereka berpindah ke Butterworth tidak lama kemudian.

Mangsa yang ditemani datuknya, Abdul Karim Arshad, 79, turut mendakwa sering dipukul menggunakan penyangkut pakaian, selain dijentik dahinya, jika tidak patuh arahan.

Abdul Karim berkata, cucunya tinggal bersama beliau dan isteri sejak berusia sebulan apabila anak lelaki dan bekas menantunya mengambil keputusan untuk bercerai.

"Pada November lalu, bekas menantu saya datang ke rumah untuk mengambil Izzudin dan berjanji memulangkannya selepas cuti sekolah tetapi dia tidak berbuat demikian.

"Sepanjang tempoh lima bulan itu, saya cuba menghubungi bekas menantu saya melalui telefon bimbit tetapi telefon bimbit itu dimatikan," katanya.

Beliau dan isterinya, Saadiah Md Salleh, 63, bagaimanapun terkejut apabila Izzudin tiba-tiba menghubungi mereka, Ahad lalu dan mengatakan dia dalam perjalanan pulang ke Alor Star.

"Saya hampir menangis apabila melihat Izzudin yang baru saja turun dari bas kira-kira jam 3.40 petang di Stesen Bas Shahab Perdana terus meluru mendapatkan kami berdua," katanya.

Abdul Karim berkata, beliau dan isteri terkejut apabila mendapati terdapat kesan lebam di tangan dan muka Izzudin sehingga menyebabkan mereka mengesyaki cucunya menjadi mangsa penderaan.

Berikutan itu, beliau menghantar mangsa ke Hospital Kuala Nerang untuk pemeriksaan, sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mohd Hamzan Darus, mengesahkan menerima laporan, tetapi belum ada tangkapan dibuat.

No comments: