Tuesday, 15 May 2007

2007 05: Wanita mengaku ibu budak didera

Berita Harian online. Nasional. 10/05/07

Oleh Hamzah Osman

Siti Asiah dakwa dicerai selepas lahirkan Shahira

LANGKAWI: Seorang suri rumah, Siti Asiah Meson, mendakwa Naziratul Shahira Mohd Azmi Prem Kumar, tiga, kanak-kanak yang ditemui di atas peti sejuk seorang diri dengan kedua-dua kaki terikat di dalam rumah sewa ibu tirinya di Pulau Pinang, pada 18 April lalu, adalah anaknya.

Sehubungan itu, Siti Asiah, 36, berkata beliau akan melakukan apa saja bagi membolehkannya mendapat hak penjagaan ke atas kanak-kanak berkenaan yang didakwanya hasil perkongsian hidup dengan bekas suaminya, Mohd Azmi Prem Kumar.

"Saya bercerai dengan Mohd Azmi kira-kira tiga tahun lalu dan ketika itu saya masih dalam pantang selepas melahirkan Naziratul Shahira. Sejak itu kami dua beranak tidak pernah bertemu dan terputus hubungan.

"Sepanjang tempoh itu saya diugut dan diperlakukan secara kasar termasuk beberapa kali ditampar apabila bertanyakan perkembangan Naziratul," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Siti Asiah berkata, setakat ini beliau membuat tiga laporan polis mengenai ugutan yang diterimanya termasuk yang terakhir pada 30 April lalu di Balai Polis Seberang Prai.

Selain Naziratul Shahira, katanya, beliau turut mempunyai seorang lagi anak lelaki, Mohd Ashwan, 5, hasil perkongsian hidup dengan Mohd Azmi, yang juga tidak diketahui khabar beritanya sejak tiga tahun lalu.

"Saya bersyukur Naziratul Shahira masih hidup. Itu pun selepas terlihat namanya dalam akhbar pada 27 April lalu apabila kes membabitkannya disebut di Mahkamah Majistret Georgetown, sehari sebelumnya.

"Laporan itu menyebut seorang peniaga pasar malam, Muhamad Ferdaus Ahmad Jalaludeen, 22, mengaku bersalah atas tuduhan mendera Naziratul Shahira," katanya kelihatan sebak sepanjang pertemuan itu.

"Pelbagai cara sudah dilakukan termasuk menemui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi semuanya menemui jalan buntu. Malah pihak JKM lebih berminat menyerahkan hak penjagaan Naziratul Shahira kepada bekas isteri pertama Mohd Azmi," katanya.

Kes membabitkan Naziratul Shahira mendapat tumpuan media apabila kanak-kanak itu ditemui atas peti sejuk seorang diri dengan kedua-dua kaki terikat di Flet Sri Wonder, Jalan Lintang, Sungai Pinang kira-kira jam 8 malam, 18 April lalu.

Ketika ditemui, kanak-kanak itu dipercayai lapar dan dahaga, menangis sehingga menarik perhatian jirannya yang cuba membantu, tetapi gagal kerana jeriji pintu berkunci sebelum memaklumkan kepada polis.

Polis dan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) memecahkan pintu rumah dan menyelamatkan kanak-kanak itu.

Berikutan itu, Muhamad Ferdaus ditahan dan mengaku bersalah mendera Naziratul Shahira apabila tuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret Georgetown.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 4 Julai ini untuk mendengar fakta dan hukuman.

No comments: