Tuesday 29 May 2007

2007 05: Budak maut jatuh tingkat sebelas

Berita Harian. Nasional. 26/05/07

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail

Mangsa cari ibu berdiri atas kotak pembesar suara

SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak berusia lima tahun 10 bulan yang mahu mengikut ibunya ke kedai runcit meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat 11 rumah pangsa Projek Perumahan rakyat (PPR) Hicom Seksyen 26, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, Wahizatul Iman Norhashim, dikatakan berdiri di atas kotak pembesar suara lama diletakkan di tepi koridor untuk mencari ibunya, Mislina Samigan, 32, yang disangka pergi ke kedai runcit terletak di tingkat paling bawah rumah pangsa 16 tingkat itu.

Ibu saudara mangsa, Rafella Ishak, 26, yang tinggal bersama keluarga mangsa, berkata sebelum kejadian, mangsa baru pulang bersama ibunya dari kedai selepas membeli barang basah di sebuah lagi kedai di belakang rumah pangsa itu.

Katanya, selepas menghantar semua barang itu di rumah, ibu mangsa turun ke tingkat 10 dan meninggalkan mangsa bersamanya, tetapi mangsa menyelinap keluar dari rumah tanpa disedari dan memanjat kotak pembesar suara lama diletakkan di tepi koridor yang dipercayai dijadikan bangku oleh penduduk di situ untuk berehat.

Wahizatul dipercayai berdiri di atas kotak pembesar suara yang berada kira-kira 20 meter dari rumahnya untuk mencari ibunya sebelum jatuh di atas simen dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang saksi yang berada berhampiran tempat kanak-kanak malang itu jatuh berkata, beliau terdengar dentuman kuat dan menyangka kanak-kanak nakal membuang barang dari tingkat atas.

“Saya terkejut dan menjerit meminta tolong apabila melihat seorang kanak-kanak terlentang atas simen berlumuran darah. Beberapa orang yang berada di kedai runcit datang untuk membantu, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana kanak-kanak itu cedera parah terutama di kepala,” katanya.

Seorang lagi saksi berkata, ibu mangsa, Mislina beberapa kali meraung sambil menyebut beliau menyesal kerana tidak membawa Wahizatul bersamanya walaupun anaknya itu merengek untuk mengikutnya.

Mislina juga pengsan beberapa kali kerana terlalu sedih dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk turun sebelum dipapah masuk ke surau oleh jiran dan ahli keluarga bagi melihat wajah mangsa untuk kali terakhir sebelum jenazah dikebumikan.

Wahizatul dipanggil Iman oleh ahli keluarganya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hicom malam tadi.

Bapa mangsa, Norhashim Ali, 32, yang berada di tempat kerja ketika kejadian berkata, beliau sekeluarga merancang untuk pulang bercuti ke kampungnya di Kuala Krai, Kelantan sempena cuti sekolah.

“Saya sudah pun mengambil cuti untuk membawa keluarga termasuk Wahizatul pulang ke Kuala Krai. Saya reda dengan kejadian ini dan menerimanya sebagai takdir,” katanya.

No comments: